SINGAPURA, 15 Jun — Singapura mahu kerajaan Malaysia memberikan penjelasan berhubung laporan mengenai dua wanita rakyat negara itu diarah melakukan ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan bogel.
Akhbar Straits Times Singapura hari ini berkata Kementerian Luar republik itu mahu Jabatan Imigresen Malaysia menyiasat dan menyediakan lebih banyak maklumat mengenai aduan itu.
“Konsulat kami di Johor Baru telah berhubung dengan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan maklumat dan prosedur penahanan kedua-dua wanita yang ditahan itu,” kata akhbar harian itu memetik jurucakap kementerian.
Ia menambah, kementerian itu juga akan membawa aduan wanita itu kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.
Akhbar itu juga mengeluarkan peringatan kepada rakyat negara itu, mendesak sekiranya mahu merentasi sempadan mesti memastikan pasport mereka dicap sebelum memasuki atau meninggalkan Johor Baru.
“Selepas pasport mereka diserahkan kembali oleh pegawai imigresen, mereka harus memastikan pasport itu telah dicap. Jika tidak, mereka harus maklumkan kepada pegawai dengan segera,” katanya.
Akhbar itu juga melaporkan dua wanita warga Singapura yang hanya dikenali sebagai Chang dan Lim telah menemui dengan pegawai konsulat semalam untuk menceritakan pengalaman yang dialami dan akan mengemukakan aduan itu kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara itu.
Jelas akhbar itu, kedua-kedua wanita itu telah ke Johor Baru untuk makan malam minggu lalu tetapi secara tidak sengaja melepasi sempadan tanpa pasport mereka dicap selepas memandu di lorong yang tidak dikawal.
Akhbar itu juga melaporkan Pengarah Imigresen Johor Mohd Nasri Ishak mengesahkan hasil siasatan berhubung siasatan itu telah diserahkan kepada ibu pejabat.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, Mohd Nasri berkata ketuk ketampi dalam keadaan berbogel bukan satu prosedur hukuman jika rakyat bukan warganegara ditahan memasuki Malaysia secara tidak sah.
“Mereka akan dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau lima tahun penjara,” katanya.
Sumber : Malaysia Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan