ADVERTISEMENT

Kementerian masih kaji hajat Astro naik fi langganan

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sedang berbincang dengan pihak stesen televisyen berbayar Astro berhubung hasrat syarikat itu melakukan beberapa pelarasan harga kepada pakej-pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini.

Timbalan Menteri Datuk Joseph Salang berkata, penyelarasan harga yang diumumkan oleh pihak syarikat televisyen berbayar itu baru-baru ini, masih belum muktamad.

“Kementerian memang sentiasa memantau dan berunding dengan Astro. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, penyelarasan harga yang telah diberitakan belum muktamad,” kata beliau dipetik Bernama Online hari ini.

“Pada masa kini, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berunding, meneliti dan menganalisis apakah hajat Astro untuk naikkan harga ini wajar atau tidak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) di Dewan Rakyat.

Mohamad meminta supaya kementerian memantau langkah Astro untuk mengenakan bayaran yang agak tinggi terhadap pakej-pakej yang ditawarkan demi kepentingan rakyat.

Sementara itu, Joseph berkata bagi mana-mana perkhidmatan televisyen berbayar termasuk Astro, penetapan kos langganan adalah berdasarkan kos yang ditanggung dalam menyediakan perkhidmatan termasuklah kos pemerolehan dan pembelian kandungan dan hak penyiaran dari pihak ketiga.

Katanya, ini adalah selaras dengan prinsip mengenai penetapan kadar yang diperuntukkan di bawah Seksyen 198, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Oleh itu, setiap kenaikan harga dianalisa oleh pihak SKMM bagi memastikan ianya adalah tindakan yang wajar dan munasabah berasaskan kos dan tidak hanya bermotifkan keuntungan semata-mata,” katanya.

Sumber : Malaysia Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan